TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah menahan seorang lelaki warga asing serta merampas pelbagai jenis rokok seludup dalam satu serbuan khas di Kampung Sri Aman Batu 3, Tawau di sini semalam.
Serbuan yang dilaksanakan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) kira-kira jam 10.00 malam itu berjaya memberkas suspek dan merampas sebanyak 1,540 pek rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai, dipercayai untuk pasaran haram dalam negara.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, barangan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM367,200.00.
“Tangkapan dan rampasan ini adalah hasil risikan yang berterusan serta tindakan tegas dalam mengekang sindiket penyeludupan yang menjadikan kawasan pesisir pantai sebagai laluan utama,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd Nazri berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan, manakala suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 berhubung status kewarganegaraannya.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan khususnya di kawasan dikenal pasti sering menjadi laluan sindiket penyeludupan.
“Kita menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” jelas Mohd Nazri.