Potensi Guarana dioptimum secara komersil, berskala industri – Dr Jeffrey

KOTA KINABALU: Potensi penanaman Guarana di Sabah perlu melepasi risiko penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) bagi menjamin perladangan koko dan getah tidak terjejas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, Persidangan Guarana Antarabangsa Borneo (BIGC) 2024 akan diteliti untuk dibawa ke Mesyuarat Kabinet Sabah bagi membolehkan tanaman itu diusahakan mengikut undang-undang secara komersil berskala industri di Malaysia.

Dr Jeffrey berdialog bersama penanam Guarana.

Katanya, potensi tanaman dari Brazil itu bernilai ekonomi tinggi dalam produk minuman, makanan dan farmaseutikal perlu dioptimumkan demi meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar.

“Penyelidikan ke atas tanaman Guarana perlu dijalankan secara bersungguh-sungguh demi memastikan tanaman itu dapat memberi manfaat kepada penanam dan tidak mengakibatkan kemudaratan kepada alam sekitar.

“Kita turut menekankan keperluan untuk memastikan penanaman Guarana di Sabah sahih di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan BIGC 2024 kali pertama di Asia di sini semalam.

Bercakap kepada media, Dr Jeffrey merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata larangan menanam Guarana memang wujud dan memerlukan penyelesaian.

“Ketika ini, sudah ramai penanam Guarana di seluruh Sabah dan larangan yang wujud tidak menghalang petani menanam tanaman itu,” jelas Dr Jeffrey.

Persidangan yang turut mempamer pelbagai produk Guarana itu dianjurkan Bersama Cupana Holdings Sdn Bhd, Koperasi Star Sabah Bhd dan Azman Hashim International Business School, UTM.