Polis terima 206 laporan berhubung perhimpuan Ahli Parlimen pembangkang – KPN

KUALA LUMPUR: Polis menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen.

Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

“Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam Bernama melaporkan polis telah menghalang cubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.

— BERNAMA