Polis, SKMM ambil tindakan portal ‘Sabahkini2’, tuduh 6 ADUN Warisan sokong Hajiji Noor – Azhar

KOTA KINABALU: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tegas terhadap pemilik Portal Online ‘Sabahkini2’ selepas menyiarkan artikel beransur fitnah menuduh enam ADUN Warisan menandatangani dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azhar Matussin berkata, kejadian ini bukan kali pertama berlaku namun portal Sabahkini2 masih beroperasi sekali gus menyiarkan artikel berunsur fitnah.

Katanya, beliau bersama enam ADUN menafikan terlibat menandatangani SD sekali gus meninggalkan Parti Warisan (Warisan) dalam tempoh terdekat.

“Saya bersama enam ADUN tersebut termasuk, Chong Chen Bin (Tanjung Kapur); Assaffal Alian (Tungku); Norazlinah Arif (Kunak); Dr Daud Yusof (Bongawan), Mohamad Mohammarin (Banggi).

“Kami tidak pernah menurunkan tandatangan SD atau terlibat menyokong Hajiji Noor seperti dalam laporan portal ‘SabahKini2’, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azhar merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN) berkata, pihak polis bersama SKMM  patut mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan perkhidmatan portal online ‘Sabahkini2’.

“Laporan portal ini sangat tidak bertanggungjawab dengan sengaja menabur fitnah bagi memastikan rakyat percaya enam ADUN Warisan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Azhar berkata, beliau mewakili semua ADUN Warisan berada di belakang Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sekali gus kekal pendirian menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) lalu.