BEAUFORT: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memukul serta mencederakan isterinya dalam kejadian di Kampung Membakut Jaya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berumur 27 tahun turut mengancam dan mengugut membunuh serta menggantung mangsa selain dipercayai memukul anak lelaki mereka.
Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek marah berikutan anaknya menangis ketika ia hendak tidur menyebabkan berlakunya pertengkaran diantara suami isteri berkenaan.
“Suspek marah apabila ditegur perbuatannya oleh isterinya kemudian bertindak memukul serta menampar mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang.
“Isteri mangsa berumur 25 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Membakut kemudiannya sudah dirujuk ke Hospital Daerah Beaufort untuk rawatan lanjut selepas dipercayai mengalami kecederaan di bahagian muka,“ katanya.
DSP Yusoff Zaki berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas dipercayai dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.
SabahNewsToday