Polis masih menunggu laporan kejadian tiga individu diserang sekumpulan memerang di ibu negeri

KOTA KINABALU : Polis masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kes tiga individu diserang sekumpulan memerang dalam kejadian di sebuah taman rekreasi di ibu negeri di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pada 11 September pada jam 6.40, Polis Kota Kinabalu menerima maklumat berkaitan kes tiga individu tersebut.

“Mangsa merupakan dua orang wanita berumur masing-masing 40 dan 54 tahun bersama seorang lelaki berumur 56 tahun sedang berjoging ketika itu diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.

“Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Sementara itu, Dewan

Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi tersebut agar menutup operasi serta-merta susulan insiden tersebut.

Beliau berkata langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya menerusi kenyataan berasingan di sini semalam.