Polis kesan Abd Razak kes bunuh di Keningau

KENINGAU : Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenal Abd Razak merupakan warga asing dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Jalan Lingkudau di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Deputi Alizam Dalaman berkata, mangsa berusia 58 tahun dilaporkan maut akibat cedera parah di tangan selepas ditetak oleh suami jiran yang dibantunya.

Katanya, hasil siasatan awal berlaku sedikit pertengkaran antara suspek lelaki berusia 40 tahun bersama isterinya.

“Isteri suspek dikatakan melarikan diri ke rumah jiran iaitu rumah mangsa sebelum dibawa membuat laporan di Balai Polis Keningau.

“Mangsa bersama isterinya sendiri membantu isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Keningau. Setibanya di balai, mangsa dihubungi anaknya memaklumkan suspek dalam keadaan marah di hadapan rumah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Alizam, ketika dalam perjalanan balik ke rumah, mangsa berjumpa dengan suspek sekali gus berlakunya pertengkaran antara mereka.

“Suspek bertindak menetak tangan mangsa sehingga menyebabkan berlakunya pendarahan teruk dihadapan anak mangsa sendiri yang duduk di tempat duduk penumpang.

“Isteri suspek yang tiba bersama anggota peronda unit kereta peronda (MPV) kemudiannya menemukan mangsa dalam keadaan cedera parah,” jelas Alizam.

Beliau berkata, bagaimanapun anggota MPV berkesempatan menghubungi Hospital Daerah Keningau sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Azrul Efizul Mohd Asri di talian 012-9293148 atau tampil ke balai polis berhampiran.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan punca pergaduhan antara suspek disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu suspek terhadap mangsa  menolong isterinya,” kata Alizam.