Polis berkas suspek utama pembunuhan mandur ladang

Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN: Polis berjaya menahan suspek utama kes bunuh seorang mandur di Ladang Malangking dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menahan empat lelaki warga Filipina masing-masing berumur 19, 24, 32, dan 40 tahun bagi membantu siasat berhubung kes pembunuhan terbabit.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulau Tanjung Batu Laut di sini kira-kira jam 10.55 malam pada 19 Mei lepas.

“Tiga lelaki yang ditahan di rumah berkenaan disyaki terlibat dengan kes pembunuhan terbabit.

“Hasil siasatan awal, seorang suspek yang berumur 24 tahun yang juga suspek utama dalam kes itu mengaku menetak mangsa yang berumur 42 tahun,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mohd Azhar berkata, suspek adalah perancang utama dalam kes berkenaan bersama lima lagi suspek lain yang menyerang mangsa.

Menurutnya, pada 20 Mei lepas kira-kira jam 12 tengah hari, pihak polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di kampung yang sama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis turut merampas pakaian, sebuah bot dan sebuah enjin sangkut dipercayai digunakan semasa kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pemandu bot dan menyaksikan apa yang berlaku di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, suspek utama kes ini berdendam dan marah terhadap mangsa selepas mengetahui mangsa melakukan hubungan sulit bersama kakak iparnya.

“Suspek juga tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana menghina serta memaki dan memukul abang kandungnya kerana berhutang duit,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak polis masih lagi mengesan beberapa suspek yang terlibat dalam kes itu di sekitar daerah ini.

Pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Selasa lepas, seorang mandur mati ditetak dan ditikam akibat diserang sekumpulan lelaki di Ladang Malangking dekat sini dalam kejadian kira-kira jam 2 petang.

Semasa kejadian, mangsa berada di bilik tidur dalam rumahnya diserang enam lelaki bersenjata parang panjang, pisau dan pemecah ais.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tetakan dan tikaman di bahagian badan.

SabahNewsToday

Leave a Reply