TAWAU: Kerajaan perlu mengkaji semula untuk menimbang menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di khususnya di daerah Tawau.
Bekas Calon Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) Sungai Sibuga, Mellia Hassan berkata ini kerana rakyat khususnya di Tawau sangat terkesan untuk meneruskan kehidupan seharian lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, sekiranya PKPD segera ditamatkan ini sudah tentu membolehkan mereka semua keluar bekerja untuk mencari nafkah dan keperluan keluarga mereka.
“Kita melihat beberapa penduduk Kampung Baru Pasir Putih, di Tawau buat bantahan secara aman sehingga ada beberapa orang di tahan di balai polis akibat membantah pelaksanaan PKPD ini.
“Tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk di kampung itu wajar dipertimbangkan bagi mengambil kira keadaan semasa ekoran jumlah kes yang direkodkan di kampung itu sudah mencapai tahap rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang di keluarkan hari ini.
Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melanjutkan tempoh PKPD di lokaliti itu selama dua minggu lagi bermula esok sehingga 12 Mei depan.
Sebelum ini, Kampung Baru Pasir Putih dikenakan PKPD bermula pada 1 April hingga 14 April sebelum dilanjutkan lagi sehingga 28 April
Mellia berkata, pihaknya tidak menafikan ada menerima bantuan bakul makanan yang disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan sumbangan wakil rakyat.
“Perlu diingat mereka ini juga mempunyai tanggungan termasuk hutang bank, kereta, rumah serta lain-lain yang perlu dibayar. Pihak bank tidak pernah memahami masalah rakyat yang terkesan akibat PKPD ini,” katanya.
SabahNewsToday