KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mengumumkan ‘Pelan Strategik 2021-2025’ dalam visi menjadikan institusi kecemerlangan terunggul dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.
Pengarahnya, Zainab Othman berkata, pelan strategik ini direka khusus serta dirancang dengan bersandarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 -2025 serta Pelan Strategik Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti 2018-2025.
Katanya, ini merupakan sebahagian pelan peneraju dalam usaha merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sekali gus merupakan asas rujukan PKK dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pelan Strategik dilancarkan bermula hari ini agar warga kerja PKK dapat menghayatinya semangat kerjasama yang kolektif sekali gus menjadikan PKK sebagai institusi kecemerlangan bakat TVET di peringkat negeri, negara serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Zainab berkata, sebagai penyedia TVET terbesar di Sabah merupakan suatu kekuatan untuk menyediakan landasan kukuh dengan memartabatkan statusnya sebagai sebuah penyedia pendidikan TVET terunggul unggul di Malaysia.