PUTATAN: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama erat pihak swasta menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan di peringkat awal.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, perkara itu merupakan satu pendekatan murni termasuklah usaha meringankan beban golongam ibu bapa membeli keperluan persekolahan anak-anak.
“Kerjasama erat pihak swasta, syarikat perniagaan atau lain-lain entiti untuk menunaikan CSR mereka kepada pembangunan pendidikan adalah amat digalakkan.
“Selain daripada dapat membantu komuniti yang mungkin terkesan dengan cabaran ekonomi semasa, ia juga dapat memberikan pemelegaan kepada golongan ibu bapa dalam menampung keperluan perbelanjaan sekolah anak mereka,” katanya di sini hari ini.
Program berkenaan yang merupakan anjuran Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat, melibatkan seramai 300 murid sekolah rendah di daerah Putatan.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan ADUN Tanjung Keramat berharap sumbangan tersebut akan dapat meningkatkan semangat para pelajar dalam menimba ilmu.
“Saya berharap ianya akan menyuntik semangat para pelajar untuk hadir ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh.
Shahelmey turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) cawangan Sabah yang merupakan penaja sumbangan beg-beg sekolah untuk program tersebut.