KOTA KINABALU : Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong pendirian serta keputusan kerajaan negeri Sabah berhubung dengan tindakan mahkamah Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).
Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, PH Sabah memahami serta menghormati sepenuhnya keputusan diambil SLS dalam membawa isu 40 peratus hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan Semakan Kehakiman mereka.
Katanya, pada 2022 PH Sabah mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah memfailkan Saman Pemula menuntut 40 peratus hak perlembagaan Sabah dilaksanakan.
“PH Sabah kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA 63) masing-masing diketuai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kedua.
“PH Sabah memandang positif tindakan SLS terus didengar di mahkamah dengan komitmen Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu MA63 melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 dengan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke jawatankuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu menyebut, walaupun Pendekatan berbeza namun mempunyai matlamat sama iaitu memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.