SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sukau menyambut baik pembangunan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan Sukau yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa menghadiri Himpunan Gagasan Rakyat di kawasan itu, baru-baru ini.
Ia termasuk pembinaan sebuah dewan serbaguna bernilai RM 3 juta dan hasrat kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan taraf Sukau sebagai sebuah daerah kecil.
Naib Ketua Bahagian PGRS Sukau, Azman Mastar, berkata parti bahagian berkenaan mengucapkan pengharagaan dan terima kasih di atas keprihatinan ketua menteri untuk memberi perhatian terhadap pelaksanaan pembangunan di kawasan ini.
Katanya, pembinaan dewan untuk kemudahan rakyat selain usaha kerajaan untuk menaik taraf Sukau sebagai daerah kecil amat dialu-alukan.
“Keprihatinan ketua menteri terhadap aspek pembangunan yang sangat diperlukan di kawasan ini merupakan satu berita baik kepada rakyat di sini.
“Kita amat menghargainya dan mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yakin ketua menteri juga sentiasa peka bagi penyediaan kemudahan lain dan keperluan rakyat sebagaimana yang telah disuarakan oleh Ketua bahagian, Datuk Juhari Janan.
Menurutnya, ketua bahagian PGRS itu telah mengesyorkan supaya pihak kerajaan membantu menangani masalah air, jalan raya dan elektrik termasuk di pulau-pulau dalam kawasan tersebut.
“Kepimpinan PGRS Sukau yang diterajui Juhari akan sentiasa berusaha supaya kemudahan asas dan keperluan rakyat dapat dilaksanakan kerajaan selaras dengan visi Sabah Maju Jaya,”.
“Justeru, kami di bahagian akan terus berganding bahu supaya pihak kerajaan dapat merealisasikan kemudahan dan keperluan rakyat khususnya yang sangat mendesak,” tegas Azman.