BELURAN: Dua maut manakala satu parah dalam satu kejadian kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah sedan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Telupid/Tongod, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang maut berusia 40 dan 44 tahun manakala mangsa parah berusia 62 tahun.
Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati sebuah sedan dan pacuan empat roda tersebut masing-masing dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah sedan cuba memotong kenderaan lain dihadapannya namun gagal lalu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di laluan bertentangan.
“Akibat kejadian tersebut pemandu dan penumpang kereta sedan maut manakala pemandu pacuan empat roda mengalami cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.