TUARAN: Sumbangan petugas barisan hadapan yang komited membantu menjayakan usaha Kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 terus dihargai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19.
“Terima kasih kepada semua frontliners diketuai Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di atas bantuan dan sumbangan tidak kira masa, suasana, dan cuaca.
“Kita sendiri mengetahui pengorbanan mereka yang sanggup berpanas berhujan di mana-mana Sekatan Jalan Raya (SJR), atau kawasan-kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya selepas menghadiri Program Pemimpin Prihatin Bersama Frontliner Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, sini hari ini.
Jahid berkata, sumbangan pihak PDRM begitu signifikan dalam memastikan wabak tersebut dapat dikawal, terutamanya di negeri Sabah.
“Sumbangan hari ini adalah bagi mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti para petugas barisan hadapan yang begitu dedikasi menjayakan program bagi menghadapi pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau menyeru kepada seluruh masyarakat untuk terus mendoakan semua anggota yang terlibat bertugas secara langsung mahu pun tidak, akan terus terpelihara oleh Yang Maha Kuasa.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli, berterima kasih kepada Kelab Penyokong Datuk Jahid Jahim (KPDJJ) serta kumpulan prihatin yang berjaya menyelaras penyerahan sumbangan barangan keperluan itu kepada anggota barisan hadapan.
“Kepada pihak KPDJJ, jangan berhenti setakat ini, teruskan amalan mulia ini bagi membantu pihak lain yang memerlukan,” kata Jahid.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran Timbalan Superintenden (DSP) Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya amat terharu dengan penghargaan yang diberikan kepada anggota barisan hadapan khususnya anggota polis.
“Terima kasih tidak terhingga atas inisiatif yang telah diambil oleh pihak KPDJJ dan beberapa kumpulan lain yang terlibat memberi sumbangan bagi membantu frontliners bagi memerangi pandemik Covid-19.