PETRONAS hargai peranan media Labuan

LABUAN : PETRONAS sentiasa menghargai peranan media dalam membantu menghebahkan maklumat serta memberi mesej tepat kepada pihak berkepentingan dan masyarakat.

Pengurus Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Strategik, Kumpulan PETRONAS, Praevitriana Yuliawiratman berkata, selain itu media juga memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat melalui laporan berita yang disebarkan.

“PETRONAS menghargai peranan media khususnya di Labuan dalam melaporkan berita penting dan sahih kepada orang ramai sekaligus membantu PETRONAS menyebarkan mesej kepada pihak berkepentingan dan memberi impak yang bermakna.

“Oleh itu PETRONAS mahu memastikan hubungan erat ini terus dikekalkan bagi membentuk masa dapan yang lebih mampan,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam PETRONAS bersama Media Labuan di sini semalam.

Majlis yang dihadiri pengamal media daripada pelbagai agensi itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan karaoke, kuiz dan cabutan tiket bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.

Selain itu, semua pengamal media yang hadir turut menerima baucar PETRONAS bernilai RM100.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemical Methanol Sdn. Bhd. Labuan, Hafifi Mohd Jalil,  Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Sidek dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin.