KSU Kementerian Dalam Negeri lakukan lawatan kerja ke Maritim Malaysia Zon Labuan

LABUAN : Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman bersama Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Datuk Zul Hadi Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Zon Maritim Labuan, di sini kelmarin.

Beliau diringi Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah melakukan tinjuan mengenai pengoperasian dan tadbir urus operasi Maritim Zon Labuan.

Menurut kenyataan Maritim Zon Labuan, sempena  lawatan itu diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan Maritim Zon Labuan.

Antara isu dibincangkan termasuk cadangan pembinaan Kompleks Bersepadu Kementerian Dalam Negeri bagi zon Maritim Labuan.

Turut dibincang dalam sesi lawatan itu mengenai keselamatan Maritim, pengurusan sumber laut serta usaha berterusan dalam memerangi jenayah terutama aktiviti penyeludupan dan pencerubohan di sempadan negara.

Sementara itu, Datuk Mohd Rosli  turut mencadangkan untuk mewujudkan pos kawalan Maritim Daerah Lawas sebagai usaha melancarkan pengoperasian Maritim Malaysia bagi mengelak   sebarang kesulitan sekiranya berlaku tangkapan dan rampasan di perairan Lawas.

Awang Alik turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh Pegawai dan anggota Maritim Malaysia atas kerjasama dan perkhidmatan yang diberikan selama ini.

Delegasi tersebut turut di bawa melawat jeti Maritim Zon Labuan bagi meninjau aset aset Maritim Malaysia yang terdapat di jeti berkenaan.

Turut sama dalam lawatan itu, Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku  Suhaili Che Engku Daik dan  Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Izwanhadi Idros.