KOTA KINABALU : Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan laporan sebuah portal berita di Sabah bahawa bekas presidennya Datuk Peter Anthony memohon pengampunan diraja.
Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi berkata, Peter setakat ini hanya memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman dan sabitan terhadapnya pada 4 Mac lalu.
Katanya, semakan itu difailkan minggu lalu manakala pengurusan kes telah tetapkan dalam tempoh terdekat ini.
“Laporan mengatakan Peter memohon pengampunan diraja seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan yang memetik speaker DUN (Kadzim M Yahya) tidak tepat.
Semalam, Daily Express yang memetik Kadzim sebagai berkata bahawa peguam Peter memaklumkan kepada beliau bahawa Adun Melalap itu memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lalu, mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Willie berkata, pihak juga telah menghantar notis kepada speaker DUN Sabah berhubung permohonan semakan itu.
Katanya, notis itu telah dihantar dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan speaker DUN Sabah sebelum ini.
“Kini terpulang kepada mereka (DUN Sabah) untuk membuat keputusan,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, Speaker DUN Sabah berkata, Peter mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan yang ada sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik.