TAWAU : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) digesa agar dapat mempercepatkan proses kelulusan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) khususnya di kawasan Parlimen Kalabakan.
Ahli Parlimennya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, penubuhan PNK ini akan membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan secara sistematik sekali gus menyeluruh kepada nelayan yang berdaftar.

Katanya, secara peribadi beliau menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memastikan proses penubuhan dapat diluluskan dalam tempoh terdekat.
“Kita berharap agar permohonan penubuhan PNK ini dapat berjalan lancar mengikut jadual berikutan persatuan menjadi platform penting kepada nelayan, khususnya di Parlimen Kalabakan.
“Ini secara tidak langsung akan dapat membantu membela nasib nelayan serta memastikan kebajikan mereka ini sentiasa terpelihara,” katanya di sini semalam.
Suryady merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, selepas didaftarkan pihaknya yakin LKIM akan dapat memantau aktiviti nelayan di Parlimen Kalabakan disamping memastikan bantuan bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka.
“Hari ini Kita menerima kunjungan LKIM Sabah, antara lain untuk membincangkan perkembangan terkini berkaitan status permohonan penubuhan PNK Kalabakan.
“Mereka memaklumkan kelulusan akan dapat diperoleh pada Jun ini selepas mendapat kelulusan Mesyuarat PNK Tawau diadakan dalam tempoh terdekat,” jelas Suryady.
Menurutnya, dalam perbincangan hari ini beberapa cadangan berkaitan proses akhir menaik taraf jeti nelayan di Parlimen Kalabakan akan dapat direalisasikan.
“Langkah ini bertujuan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk kegunaan komuniti nelayan khususnya di kawasan Kalabakan.
“Secara tidak langsung, selepas ini LKIM akan dapat menyalurkan lagi pelbagai kemudahan diperlukan nelayan di kawasan ini,” kata Suryady.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, LKIM Sabah menyalurkan bantuan peralatan kepada 24 nelayan mewakili beberapa kampung di kawasan Parlimen Kalabakan.
Antara kampung terlibat menerima bantuan tersebut termasuk, Wallace Bay Sebatik, Tanjung Batu, Merotai Besar, Kalabakan serta Haji Matahir.