KOTA KINABALU: Pesta Memancing Sepanggar 2026 bakal berlangsung pada 17 Mei ini di Jetty ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan menawarkan hadiah utama RM10,000 kepada pemenang.
Program yang dianjurkan Sabah News Today (SNT) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka itu menyasarkan penyertaan seramai 350 peserta dari seluruh Sabah dengan yuran RM100 seorang.
Majlis perasmian program berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar majlis penutupan serta penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Penganjuran program ini bertujuan menggalakkan aktiviti riadah sihat dalam kalangan masyarakat selain memperkukuh hubungan komuniti setempat.
Selain itu, program berkenaan turut dijangka memberi impak positif kepada ekonomi komuniti nelayan setempat melalui aktiviti sokongan seperti perkhidmatan bot dan jualan hasil laut.
Acara itu juga menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk motosikal dan peralatan elektrik sebagai tarikan tambahan kepada peserta.
