KOTA KINABALU: Peruntukan yang diumumkan kerajaan persekutuan begitu besar tetapi kerajaan negeri tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan yang disediakan. Ini menyebabkan Negeri Sabah masih ketinggalan dari arus pembangunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Suhaimi Nasir berkata beliau ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri, kemana lebihan peruntukan pembangunan ini disalurkan dan mengapa tidak digunakan sepenuhnya.
“Seperti mana yang kita tahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukan RM6.5 billion pada tahun 2023 dan RM6.6 billion tahun 2024.
“Saya ingin mengetahui, kemana wang itu dibelanjakan dan berapa jumlah baki yang belum digunakan,” katanya pada Sesi Perbahasan Belanjawan 2024 Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Beliau mencadangkan, Kerajaan Negeri dapat melaksanakan pembangunan segera dengan jumlah baki peruntukan pembangunan persekutuan demi keselesaan dan kepentingan rakyat serta memberi impak besar kepada negeri Sabah.
Suhaimi juga ingin membangkitkan di dewan ini, bagi jawapan Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Dewan Rakyat terdapat permohonan pinjaman yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah, yang tidak lengkap dan maklumbalas yang dikemukakan semula telah melangkaui tahun yang diproses.
“Persoalannya, mengapa Kerajaan Negeri lewat mengemukakan cadangan isu kemudahan asas, terutamanya isu air kepada Kerajaan Persekutuan.
“Tindakan kelewatan kerajaan negeri mengemukakan cadangan terbabit, akan
menyebabkan Sabah, lebih jauh ketinggalan. Seharusnya Kerajaan Negeri lebih proaktif dan pantas dalam perkara ini untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dari arus pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata tiga masalah utama negeri Sabah iaitu bekalan elektrik, jalanraya dan bekalan air, berdasarkan dari tiga sumber iaitu dalam teks belanjawan dan penyata kewangan persekutuan dan anggaran perbelanjaan persekutuan.
Mengenai bekalan air Sabah, diumumkan sejumlah RM226 juta, perbelanjaan sebenar hanya RM190 juta.
Katanya Bekalan Elektrik Luar Bandar Sabah diumumkan sejumlah RM300 juta, namun perbelanjaan sebenar hanya RM170 juta.
Menurutnya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diumumkan sejumlah RM308 juta, namum perbelanjaan sebenar hanya RM178 juta dan Jalan raya diumumkan RM129 juta, perbelanjaan sebenar RM104.6 juta.