Persatuan runcit harap pusat beli-belah dan rangkaian runcit dibuka selepas 10 peratus vaksinasi dicapai

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Persatuan runcit di Malaysia berharap semua pusat beli-belah dan rangkaian runcit boleh dibuka semula pada 15 Julai atau apabila sasaran 10 peratus vaksinasi dicapai, yang mana lebih awal.

Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPK Malaysia) Tan Sri Teo Chiang Kok berkata pengusaha pusat beli-belah atau runcit telah bergelut sejak 16 bulan yang lepas dengan aliran tunai yang kritikal, dan sebarang lanjutan hanya akan menjadi jalan terakhir kepada perniagaan dan industri secara keseluruhan.

“Kami amat menghargai dan berasa lega apabila program vaksinasi telah dipercepatkan dan lebih 10 peratus penduduk dijangka selesai divaksinasi dengan dua dos pada 15 Julai, 2021,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Ia turut disertai oleh beberapa persatuan runcit termasuk PPK Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Peruncit Bumiputera, Persatuan Pengurus REIT Malaysia, Persatuan Rantaian Runcit Malaysia serta Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia.

“Kami turut mengalu-alukan berita bahawa pada 30 Jun, sebanyak 17.7 peratus penduduk negara ini telah divaksinasi dengan dos pertama, dan 7.1 peratus telah divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos,” katanya.

Teo berkata walaupun dengan hanya 17.7 peratus telah lengkap dos pertama, ia membuktikan bahawa 70 peratus keberkesanan telah dicapai.

Beliau menjelaskan bahawa kakitangan runcit hanya berurusan dengan pembeli dalam tempoh yang singkat di rangkaian perniagaan yang biasanya kurang daripada 15 minit yang merupakan ambang interaksi yang selamat berbanding aktiviti di tempat seperti kilang dan pejabat apabila rakan sekerja bekerja bersama selama berjam-jam.

“Kajian telah menunjukkan bahawa interaksi dalam tempoh yang singkat antara pembeli dan kakitangan kami tidak menyumbang kepada jangkitan kuman berikutan wajib bagi kedua-dua pihak untuk memakai pelitup muka.

“Oleh itu, pusat beli-belah dan rangkaian runcit termasuk kedai-kedai di kawasan membeli-belah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi orang ramai dengan fikiran yang tenang,” katanya.

Beliau percaya satu-satunya penyelesaian untuk menguruskan kehidupan rakyat di negara ini ialah mempercepatkan program vaksinasi untuk membolehkan pemulihan ekonomi yang lebih cepat.

“Kita perlu menerima bahawa COVID-19 akan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan kita berikutan ekonomi tidak mampu untuk terus ditutup secara berterusan.

“Jika tidak, kami menjangka hampir 500,000 pekerja yang terlibat dalam industri pusat beli-belah dan runcit akhirnya akan diberhentikan,” katanya.

— BERNAMA