Perkukuh agenda perpaduan kaum untuk tarik sokongan

SANDAKAN: PAS Sabah akan terus komited dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat Cina, di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Sahar Abdul Majid berkata, program keharmonian bersama masyarakat Cina yang diadakan di Kenalanmu Seafood Sandakan, di sini semalam bukan yang julung kali diadakan.

Katanya, majlis itu dilaksanakan dalam rangka menyusun kerjasama antara kedua belah pihak bagi menarik sokongan masyarakat itu terhadap PAS di negeri ini.

“Agenda perpaduan dan keharmonian kaum antara tujuan utama yang dibawa PAS perlu diperkasakan dan diperkukuh bagi memastikan sokongan kaum lain terhadap PAS terus meningkat.

“PAS hargai jemputan daripada Chan Hin Wai dan Chang Heng Kwong daripada Persatuan Stevedor Pelabuhan Sandakan ke majlis ini,” katanya.

Sahar merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan berkata, penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS juga memainkan peranan penting yang menjadi jalan tengah sebagai penghubung antara kaum bukan Islam dengan parti itu.

Hadir sama dalam pertemuan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah merupakan Setiausaha PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan dan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu.