Perdagangan Sabah cecah RM107.8 bil pada 2024, nafikan dakwaan kemerosotan ekonomi — Phoong

KOTA KINABALU : Sabah menunjukkan peningkatan jumlah perdagangan melebihi RM100 bilion untuk tiga tahun berturut-turut, menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, statistik rasmi DOSM mengenai angka perdagangan Sabah membuktikan prestasi perdagangan kekal kukuh dan dalam momentum pertumbuhan positif.

Katanya, laporan rasmi DOSM semalam melaporkan jumlah perdagangan Sabah bagi tahun 2024 direkodkan pada RM107.8 bilion, meningkat 2.7 peratus berbanding 2023.

“Ini jelas menolak dakwaan sebelum ini yang mengatakan berlakunya kejatuhan mendadak.

“Kita merujuk kepada kekeliruan sebelum ini berikutan lonjakan luar biasa dalam statistik perdagangan 2023 yang melaporkan jumlah perdagangan Sabah sebanyak RM158 bilion, sebelum kononnya merosot kepada RM43 bilion pada 2024,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Phoong berkata, bermula 2019 hingga 2022, perdagangan Sabah secara konsisten berada antara RM36 bilion hingga RM58 bilion.

“Tetapi pada 2023, ia tiba-tiba melonjak kepada RM158 bilion dan kemudiannya dikatakan menurun kepada RM43 bilion pada 2024, menimbulkan kekeliruan.

“Kenyataan terkini DOSM menjelaskan angka RM43 bilion tersebut merujuk kepada perdagangan antarabangsa berdasarkan negara asal dan destinasi, bukannya jumlah perdagangan keseluruhan,” jelas Phoong.

Menurutnya, jumlah perdagangan Sabah Semenanjung Malaysia dan Sarawak mencecah RM107.8 bilion pada 2024, meningkat daripada RM105 bilion pada 2023.

“DOSM mengesahkan perdagangan antarabangsa Sabah pada 2024 adalah RM43 bilion, sejajar dengan angka yang diumumkan oleh DOSM pada 16 Jun lalu.

“Perdagangan antarabangsa bagi 2023 sebenarnya ialah RM41.4 bilion dengan eksport sebanyak RM31 bilion bukan RM158 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini,” kata Phoong.

Beliau berkata, penjelasan ini membuktikan Sabah mengalami kejatuhan perdagangan adalah tidak tepat.

“Sebaliknya, terdapat pertumbuhan dalam kedua-dua jumlah perdagangan dan perdagangan antarabangsa antara tahun 2023 dan 2024,” katanya.