TAWAU : Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara negara paling selamat di dunia apabila berada di tangga ke-13 dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berkata, ini Ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang memainkan peranan penting dalam membanteras ancaman keselamatan di kawasan berisiko tinggi.
“Malaysia pernah berada di tangga ke-19 pada 2023, meningkat ke tangga ke-10 dan kini berada di kedudukan ke-13,walaupun ranking turun sedikit, skor kita masih kekal sama seperti tahun lalu.
“Penurunan ini bukan kerana kelemahan kita, tetapi kerana peningkatan skor dua negara Skandinavia yang melabur lebih dalam aspek pengaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI ESSCOM KDN di Kampung Inderasabah, di sini semalam.
Saifuddin berkata, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara paling selamat di Asia Pasifik – seiring dengan negara seperti Singapura, Jepun dan New Zealand – menunjukkan negara masih berada pada landasan yang betul dalam aspek keselamatan domestik dan serantau.
“Kita berada dalam kelompok terbaik daripada 165 negara di seluruh dunia.
“Kita perlu terus kekalkan momentum ini dan manfaatkan reputasi kita sebagai negara selamat untuk menarik lebih ramai pelancong serta pelabur ke Malaysia,” jelas Saifuddin
Menurutnya, peranan ESSCOM sangat signifikan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat di kawasan Pantai Timur Sabah, satu kawasan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai insiden keselamatan.
“Peningkatan trend ketibaan pelancong asing ke kawasan berkenaan, termasuk Semporna, turut didorong oleh penambahan penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Tawau.
“Ini semua hasil daripada keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sini,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Kampung Angkat MADANI ESSCOM yang memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada setiap kampung terpilih, meliputi pelaksanaan projek fizikal dan bukan fizikal seperti penambahbaikan kemudahan sekolah dan prasarana komuniti.