Perbadanan Labuan rancang langkah masa panjang bagi memastikan bekalan asas tidak terputus oh

LABUAN: Perbadanan Labuan perlu merancang langkah jangka panjang  bagi memastikan bekalan asas seperti air, elektrik tidak terputus pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, Labuan perlu ada inisiatif untuk memiliki bekalan air dan elektrik yang diuruskan sendiri.

Noridah ketika mendengar taklimat mengenai pengurusan dan pembangunan Labuan di Wisma Perbadanan Labuan.

Beliau maklum akan situasi semasa yang mana Labuan  masih memerlukan bekalan dari tanah besar Sabah.

“Langkah  inisiatif jangka panjang untuk menangani masalah ini daripada berterusan disebabkan  bekalan tersebut tidak dapat memenuhi  keperluan dan permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan  yang dikeluarkan oleh Perbadanan Labuan sempena lawatan kerja beliau ke Labuan baru-baru ini.

Lawatan  itu merupakan kunjungan pertama kali  setelah dilantik sebagai Ketua Pengarah JWP pada 26 September lalu.

Beliau melakukan lawatan kerja selama dua hari turut mengadakan program turun padang untuk meninjau beberapa projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan termasuk projek agensi lain seperti Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dan juga Sabah Elektricty Sdn. Bhd (SESB).

Selain itu, beliau turut mendengar taklimat mengenai pengurusan dan  pembangunan Labuan.

Hasil lawatan itu, Noridah menyatakan fokus utamanya  adalah untuk menangani miskin tegar menerusi inisiatif yang telah dilaksanakan JWP.

Beliau turut meminta agar Labuan sentiasa bersedia dengan kesan peralihan angin monsun  dengan memanfaatkan sistem amaran bencana.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan  Labuan Rithuan Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  (Perbandaran) Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan)  Ibrahim Tambi.