Langkah boleh dielakkan masukkan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan tidak habis digunakan ke Tabung Amanah Negeri – Jeffrey Nor

KOTA KINBALU :  Penyaluran peruntukan tidak habis digunakan dimasukkan ke Tabung Amanah Negeri Sabah merupakan langkah serta cadangan kurang bijak.

Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, meskipun Tabung Amanah  diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember tahun lalu namun perlu menilai semula berkaitan punca peruntukkan tersebut tidak habis digunakan.

Katanya, ia termasuklah menyemak semula beberapa faktor kemungkinan disebabkan masalah birokrasi yang cukup menebal dalam melaksanakan projek pembangunan atau ketinggalan dari segi urus tadbir yang tidak cekap serta efisien.

“Seboleh-bolehnya permintaan kepada peruntukan tambahan kerja-kerja penyelenggaraan suatu yang boleh kita elakkan.

“Jika perbelanjaan sedia ada masih belum diguna pakai, saya percaya asas protokol peruntukkan tertentu boleh digunakan untuk mengatasi isu-isu utama bagi menyelesaikan isu melibatkan kepentingan rakyat di Sabah.

“Memang ada menyatakan bahawa tidak semudah itu untuk menukar protokol peruntukkan tersebut…..Tetapi kita perlu tanya apa keutamaan kita sekarang di Sabah iaitu masalah air, elektrik dan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya memohon agar peruntukan yang tidak habis digunakan itu dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Negeri Sabah.

Jeffrey Nor berkata, beliau menggesa agar isu ini tidak berulang kali berlaku setiap tahun kerana kelihatan Kerajaan Negeri dilihat tidak berupaya untuk melaksanakannya.

“Sedangkan Kerajaan Persekutuan telah memberi hak pelaksanaan bagi projek-projek bawah RM50 juta boleh diputuskan hanya di peringkat kerajaan negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah pasti untuk mengelak perkara ini berulang kita memerlukan persedian rapi khususnya daripada Kerajaan Negeri bagi memastikan peruntukan tahunan dapat digunakan secara sepenuhnya,” jelas Jeffrey Nor.

Beliau menambah siapa harus dipersalahkan jika Negeri Sabah kurang membangun sedangkan peruntukan ada disalurkan namun gagal habis digunakan.