SEMPORNA : Lima individu ditahan dan 17 pam bot telah dirampas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melalui koordinasi dua operasi yang dijalankan secara berasingan di Semporna dan Kunak, semalam.
Tangkapan tersebut dibuat melalui Operasi GASAK Laut Pambot (OGL Pambot) dan Operasi Bersepadu (OB) bagi membanteras kesalahan jenayah.
Ia termasuk penyalahgunaan pam bot, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, rompakan, pengeboman ikan dan penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Komander Eastern Command, DCP Datuk Victor Sanjos berkata operasi di kedua-dua daerah tersebut melibatkan seramai 210 pegawai dan anggota jabatan dan agensi penguatkuasaan dan keselamatan selain pihak berkuasa tempatan.
Katanya, melalui OGL Pambot di Semporna, seramai 17 individu dan 18 pam bot telah diperiksa di sepanjang pesisir pantai dan perairan yang menjadi laluan pambot untuk masuk ke Pekan Semporna.
“Hasilnya, seramai tiga individu PATI Filipina telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, seorang pemilik pam bot telah dikompaun dan 17 pam bot lagi dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Semporna untuk tindakan pelupusan,” katanya.
Sementara itu, seramai 115 individu diperiksa dalam OB di kawasan yang menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan dan tumpuan PATI sekitar perkampungan air di pesisir daerah Kunak.
Victor berkata, dua individu ditahan PDRM di bawah Seksyen 12(2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki 0.20 gram dadah jenis syabu.
“Saya amat memandang serius kesalahan yang dilakukan ini. Operasi yang menyasarkan pemeriksaan besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata ia terutamanya aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI serta membasmi kawasan staging point elemen jenayah rentas sempadan.
Katanya kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan dan pesisir pantai Kunak dan Semporna.