Perbadanan Labuan lanjutkan diskaun sewa 50 peratus peniaga di pasar Sentral UTC

LABUAN: Perbadanan Labuan  melanjutkan lagi tempoh diskaun 50 peratus kadar sewa meja pasar  awam dan premis perniagaan di Pasar Sentral UTC Labuan  untuk tempoh  12 bulan sehingga Disember tahun ini.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata,  Perbadanan Labuan telah meluluskan untuk melanjutkan diskaun 50 peratus sehingga hujung tahun ini selepas ia dipersetujui  oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman  dalam satu mesyuarat yang diadakan baru baru ini.

Perbadanan Labuan lanjutkan diskaun sewa 50 peratus peniaga di pasar Sentral UTC.

“Lanjutan diskaun 50  peratus sewa premis  ini secara langsung telah memberi manfaat kepada lebih 500 peniaga pasar basah dan kering di aras bawah, aras 1 dan 2 Pasar Sentral, “ katanya kepada media selepas mengadakan lawatan mesra ke Pasar Sentral, baru baru ini.

Beliau berkata, lanjutan diskaun 50 peratus ini adalah bukti komitmen Perbadanan Labuan untuk membantu peniaga dikawasan tersebut  yang berhadapan dengan ekonomi yang tidak menentu.

Jelasnya, pelaksanaan diskaun kadar sewa bulanan itu melibatkan peruntukan keseluruhanya berjumlah RM 425,580.

Beliau berharap dengan  lanjutan pemberian diskaun 50 peratus itu akan dapat memberi kelegaan kepada peniaga dalam usaha memulihkan sumber pendapatan mereka.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi (Pembangunan) Perbadanan Labuan Ibrahim Tambi dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Sentral Asmadi Ahmad.