Pelihara semangat pepaduan, jaga sensitiviti agama – Nizam

KOTA KINABALU : Rakyat dingatkan agar tidak melakukan apa-apa bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama atau kepercayaan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini termasuk tidak menyentuh isu-isu berkaitan 3R iaitu berkaitan Agama, Bangsa, Institusi Diraja.

Katanya, perkara ini bukan sahaja akan mencemarkan prinsip perpaduan malah ia juga akan menyebabkan pelaku berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Sejak beberapa hari lalu, kita melihat ada individu yang tidak bertanggungjawab cuba menggugat keharmonian kaum dengan melakukan penghinaan terhadap agama Islam.

“Sudah tentu kita tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negeri kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, rakyat Sabah perlu sentiasa memiliki sifat hormat-menghormati sekali gus memelihara toleransi yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di negara ini.

“Seruan ini selaras dengan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan pihak yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan, tidak lagi boleh dibiarkan,” jelas Nizam.

Menurutnya, apa yang penting, umat Islam tidak melakukan apa-apa tindakan di luar lunas undang-undang dalam menangani hal ini serta menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Saya difahamkan individu berkenaan telah berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan dan berharap perkara seperti ini tidak akan berulang,” tambah Nizam.