KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyambut baik keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai gabungan berkenaan.
Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew berkata, ia adalah berita baik khususnya kepada PH Sabah.
Katanya, bekerjasama dalam satu pasukan adalah sesuatu perkara yang baik untuk memastikan kejayaan di masa depan.
“Saya percaya kita mampu duduk bersama-sama untuk berbincang pembahagian Kerusi bagi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah berkata, UPKO akan dijemput untuk hadir dalam mesyuarat PH Sabah akan datang.
Sementara itu, Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan parti itu menyertai PH adalah selaras dengan aspirasi UPKO yang menjadi parti berbilang kaum.
Beliau berkata, ini kerana PH merupakan gabungan parti-parti politik berbilang kaum, iaitu PKR, DAP dan AMANAH.
“UPKO, selepas resolusi parti pada tahun 2019 juga menjadi parti politik berbilang kaum sepenuhnya dan keputusan menyertai gabungan parti berbilang kaum selaras dengan aspirasi parti,” katanya, di sini hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, PH kini merupakan gabungan parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia merangkumi parti-parti komponennya, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan UPKO.
“Gabungan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih mengandungi parti politik berasaskan suku kaum dan suku agama, sesuatu yang UPKO percaya bukan langkah ke hadapan buat negara Malaysia,” katanya