Pensyarah FPP UMS gerakan bantuan mangsa terjejas banjir kilat

KOTA KINABALU: Prihatin terhadap pelbagai cabaran serta kekangan yang dilalui segelintir keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam era pandemik COVID-19.

Dua pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan bantuan bagi mangsa banjir kilat di Kg. Sugud, Penampang.

Menerusi Persatuan Psikososial Sabah (PPS), dua pensyarah tersebut, Dr. Getrude Cosmas serta Dr. Carmella E. Ading yang merupakan ahli jawatankuasa Komiti Khidmat Komuniti PPS menghulurkan bantuan serta sokongan kepada sepuluh buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda baru-baru ini.

 

Antara harta benda rosak akibat banjir di Kampung Sugud Pwnampang. Gambar UMS

Getrude berkata, mereka mengadakan lawatan ke sebuah kampung yang terjejas dengan ditemani seorang penduduk kampung, iaitu Joannes Moduying.

“Jelas kelihatan banyak harta benda musnah termasuk peti sejuk, kereta, televisyen serta harta benda yang lain.

“Kawasan dalam serta luar rumah yang dipenuhi lumpur, rumput dan kayu kering juga pastinya memerlukan masa dan tenaga daripada ahli keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Justeru, bagi meringankan beban kepada keluarga yang terjejas, PPS menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian dan makanan kepada wakil keluarga.

Pihak PPS juga katanya amat menghargai sumbangan dari individu perseorangan yang turut bersama merealisasikan sumbangan ini kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya dalam berhadapan dengan bencana seperti pandemik COVID-19 dan banjir, keprihatinan daripada semua pihak amat diperlukan tanpa mengira latar belakang bagi meringankan beban serta memberikan semangat kepada mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Selain bantuan kepada keluarga di Kg. Sugud, PPS juga menghulurkan bantuan makanan kepada sembilan buah keluarga di Kg Rugading, Tuaran.