Peniaga diingatkan tidak menaikkan harga barang, jual barangan luput tarikh

KOTA KINABALU : Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara sesuka hati terutama sepanjang Perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, pengguna boleh menyalurkan maklumat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan peniaga terbabit dapat diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

David Chan memeriksa barangan kawalan dan barangan luput tarikh.

Katanya, menaikkan harga barang kawalan membabitkan telur, gula, tepung dan sebagainya adalah menjadi satu kesalahan sekali gus menyebabkan peniaga boleh dikenakan kompaun jika sabit kesalahan.

“Pengguna dingatkan agar terus mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa sekiranya wujud peniaga bertindak secara sesuka hati menaikkan harga barang di sepanjang musim perayaan ini.

“Jika ada laporan dibuat sudah tentu tindakan penguatkuasan dapat diambil agar ia menjadi pengajaran kepada peniaga lain agar tidak bertindak keterlaluan dalam menaikkan harga secara sesuka hati mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

David berkata, dalam tempoh sama beliau menggesa agar peniaga tidak menjual barang-barang makanan yang dikenalpasti tamat tarikh luput.

“Kebanyakan barang-barang yang dijual seperti hamper terdapat tarikh luput yang tanpa disedari oleh pengguna itu sendiri.

“Pembeli mempunyai hak untuk membuat pilihan dengan membeli di kedai yang menjual barangan dengan harga yang tidak membebankan bagi memberikan peringatan kepada peniaga yang lain,” jelas David.

Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, David menggesa agar peniaga perlu meletak tanda harga pada semua barangan jualan bagi kemudahan pengguna ketika membeli-belah.

“Pembeli mempunyai hak untuk membuat pilihan dengan membeli di kedai yang menjual barangan dengan harga yang tidak membebankan bagi memberikan peringatan kepada peniaga yang lain,” tambah David.