Pengurus kilang baja meninggal dunia di Kunak

KUNAK : Seorang pengurus kilang baja meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kejadian kebakaran tandan sawit di Kampung Tapang Air, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omar Bahta berkata, mangsa seorang lelaki berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Kunak.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang.

“Pasukan bomba bersama lima anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 14 kilometer dari BBP Kunak.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran yang melibatkan timbunan tanda sawit dan menemukan seorang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Omar berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air dari sumber tangki jentera.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.55 malam,” katanya.