Pengunduran STAR, SAPP Tak Jejas Perjuangan Sabah – Joniston

IULU – Pengunduran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak sepatutnya menjejaskan perjuangan menuntut hak Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun kedua-dua parti itu bukan lagi sebahagian daripada GRS, mereka masih berkongsi idealisme dan perjuangan yang sama.

“STAR dan SAPP merupakan antara pengasas GRS, dan saya percaya mereka masih membawa ‘DNA’ gabungan ini,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di Kampung Tomis Jaya, di sini.

Beliau berharap kedua-dua parti itu akan terus menyokong usaha mempertahankan hak serta kepentingan Sabah walaupun kini di luar GRS.

Katanya, perubahan landskap politik tidak boleh mengganggu matlamat bersama untuk memperjuangkan autonomi dan pembangunan negeri.

Joniston turut mengimbas pengalaman Parti Bersatu Sabah (PBS) mentadbir Sabah pada 1985 hingga 1994, yang menurutnya mengajar pentingnya kerjasama dalam mempertahankan hak negeri.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan konfrontasi tidak membawa hasil, sebaliknya perundingan dan persefahaman mampu membuka lebih banyak ruang kemajuan.

“Kerjasama dengan kerajaan pusat bukan tanda tunduk, sebaliknya langkah strategik untuk menuntut semula hak Sabah melalui rundingan yang konstruktif,” katanya.