Tindakan Presiden STAR Keluar GRS Mengelirukan Rakyat, Menggadai Masa Depan KDMR

KOTA KINABALU – Tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR).

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Mudi Dubing berkata, langkah mengejutkan itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan berkenaan benar-benar lahir daripada perjuangan membela rakyat atau sekadar strategi politik demi kepentingan peribadi dan kedudukan.

Katanya, rakyat masih ingat bagaimana pada Pilihan Raya 2018, pemimpin berkenaan tampil sebagai kononnya ‘wira rakyat’, namun selepas pilihan raya berakhir, beliau tidak teragak-agak bekerjasama dengan pihak yang sebelumnya ditentang.

“Corak yang sama dilihat berulang semula, sekali gus tidak mustahil selepas PRN kali ini, beliau akan kembali menyertai semula GRS semata-mata bagi memastikan dirinya kekal dalam barisan kuasa.

“Inilah pola lama politik Sabah yang sering dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, realitinya budaya keluar masuk gabungan bukan perkara baharu di Sabah kerana parti-parti tertentu sering menggunakan taktik sedemikian untuk mewujudkan persepsi kononnya membawa naratif baharu, namun akhirnya tetap kembali kepada parti pemerintah.

Mudi yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Pensiangan berkata, tindakan seperti itu hanya memperlihatkan politik berasaskan kepentingan diri dan bukannya perjuangan tulen untuk rakyat.

“Kaum KDMR sekali lagi menjadi mangsa percaturan politik yang tidak berkesudahan. Rakyat perlu lebih matang menilai bahawa perubahan sejati tidak akan lahir daripada pemimpin yang menjadikan budaya lompat parti dan keluar masuk gabungan sebagai amalan politik,” katanya.

Beliau menegaskan, perjuangan sebenar menuntut keteguhan prinsip serta keikhlasan dalam membela rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menolak politik gimik dan sandiwara. Negeri ini memerlukan kepimpinan yang berprinsip, berani dan benar-benar ikhlas memperjuangkan hak serta masa depan rakyat,” katanya.