KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memuktamadkan penggunaan meter prabayar di kawasan setinggan dalam masa terdekat sekali gus mampu menangani masalah penyambungan air haram di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penggunaan meter prabayar itu sebagai salah satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dalam menstabilkan semula bekalan air di Sabah.
Katanya, memandangkan tanah di kawasan setinggan tidak diwartakan dan tidak mempunyai geran maka, penyambungan meter air tidak boleh dilakukan.
“Jadi, satu inisiatif yang kita akan lakukan adalah melaksanakan penggunaan meter prabayar (prepaid).
“Namun, kaedahnya sedang diselidiki dan akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan memandang serius aktiviti penyambungan air haram di kawasan-kawasan setinggan.
“Berdasarkan pemotongan sambungan haram yang giat dilakukan, kapasiti air yang masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dapat distabilkan.
“Namun, sebagaimana telah kita lalui, selepas kita potong, sambungan haram akan dibuat beberapa hari kemudian. Jadi, ini memerlukan pemantauan secara berterusan,” katanya.
Ketika ini, Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) telah menempatkan empat tangki statik di kawasan setinggan untuk membolehkan mereka mengambil air.
Beliau berharap dengan adanya tangki statik yang disediakan itu, kecenderungan membuat sambungan haram dapat dikurangkan kerana ia akan mengganggu jumlah air yang masuk ke paip-paip utama JANS.