Sabah salur peruntukkan RM474.55 juta kepada bidang pendidikan – Hajiji

TAWAU : Kerajaan sentiasa memberi perhatian serta keutamaan kepada keperluan pendidikan serta isu pendidikan demi memastikan pendidikan terus diberikan perhatian di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan juga komited selain merangka pelbagai program dan memperkasakan inisiatif sedia ada demi memastikan setiap anak-anak mempunyai akses kepada pendidikan.

Katanya, ia juga adalah demi kecemerlangan pendidikan di negeri ini, termasuklah memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar iaitu sebanyak RM474.55 juta untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah tahun ini.

“Peruntukan itu juga adalah untuk memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah termasuklah perpustakaan.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekan kepentingan modal insan.

“Inilah bukti betapa kerajaan sangat prihatin akan kebajikan rakyatnya dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan negeri ini,” katanya di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada semua pendidik atas kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan lonjakan yang amat memberangsangkan.

“Pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2023 lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun lepas dengan nilai GPN 5.09 mata pada 2023 berbanding 5.22 mata pada tahun 2022, perbezaan 0.13 mata.

“Saya berharap dengan kerja bersungguh-sungguh dan penuh komitmen semua guru akan dapat meneruskan legasi kecemerlangan pendidikan negeri Sabah,”jelas Hajiji.