Bot nelayan terlibat aktiviti tarik tepi ditahan ‘Op Sejahtera’ di Lahad Datu

LAHAD DATU : Dua bot nelayan tempatan ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan di sini hari ini.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Mohd Firdos Ayob berkata, pihaknya melalui ‘Op Sejahtera’ mengesan bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan di Pelabuhan Kunak kira-kira jam 10.30 tadi.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya terhadap bot terbabit mendapati lima lelaki terdiri daripada empat orang warganegara Malaysia manakala seorang warganegara Filipina berumur antara 22 hingga 51 tahun.

“Mereka didapati melanggar syarat sah lesen apabila disyaki terlibat dalam aktiviti menarik pukat pada jarak 1.1 dan 1.2 batu nautika dari daratan.

“Kesemua kru bot bersama muatan hasil laut ditahan kemudian diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Firdos berkata, bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita hari ini dianggarkan bernilai RM180,000 manakala pihak Maritim akan terus menjalankan pemantauan terhadap nelayan tempatan didapati melanggar syarat sah lesen apabila mengambil kesempatan menarik pukat berhampiran daratan.

“Ini kerana aktiviti menarik pukat pada jarak berhampiran pantai boleh merosakkan ekosistem laut serta mengganggu aktiviti perikanan nelayan tradisional di sekitar kawasan pantai ini,” jelas Mohd Firdos.

Menurutnya, orang ramai turut boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.