KOTA KINABALU : Insiden lemas membabitkan pelancong di pulau Mamutik memberi peringatan kepada pengembara serta pengusaha untuk terus mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan mengelak sebarang berulang di masa depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, semua pihak termasuk pengusaha pelancongan perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan semasa aktiviti pelancongan perlu sentiasa diutamakan.
Katanya, pihaknya akan menyiasat kejadian tersebut termasuk siasat untuk memahami bagaimana mangsa tidak disedari sehingga semua orang kembali ke pantai.
“Di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), bersama-sama Taman-Taman Sabah, kita akan terus memastikan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan diambil tindakan sewajarnya.
“Dalam masa sama kita mengingatkan kepada semua pengendali supaya lebih peka terhadap keselamatan pengunjung agar perkara sama tidak akan berulang di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Christina berkata beliau juga akan mengadakan sesi penglibatan antara pihak berkepentingan pelancongan, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Taman-Taman Sabah dalam tempoh terdekat.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus menjalankan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap pematuhan keselamatan oleh semua pengendali pelancongan.
“Kita turut mengingatkan bahawa penyelamat bertugas di pulau-pulau adalah dibawah bidang kuasa Taman-Taman Sabah manakala keselamatan penyelam adalah dibawah pengawasan serta tanggungjawab juruselam,” jelas Christina.
Menurutnya, kementeriannya prihatin terhadap semua isu keselamatan serta memastikan semua pihak berkuasa berkaitan memainkan peranan masing-masing sekali gus menjaga keselamatan semua orang.
