KOTA KINABALU : Pelaksanaan Program SULAM ‘FutureYouth, Future Proof’ (FYFP) mampu meningkatkan kesedaran penduduk kampung terhadap kepentingan penjagaan ekosistem hutan bakau.
Penyelarasnya, Dr. Rosmalina Abdul Rashid berkata, program bertujuan meningkatkan tahap kesedaran komuniti terhadap ekosistem hutan bakau menjadi nadi produk ekopelancongan terdapat di kampung tersebut.
Katanya, sangat penting untuk menjaga ekosistem bakau di sepanjang Sungai Bongawan ini bagi memastikan kelestarian sumber alam semula jadinya terpulihara.
“Ini kerana hutan bakau ini menjadi habitat kepada pelbagai serangga dan hidupan liar seperti kelip-kelip, monyet Belandadan haiwan reptilia seperti buaya.
“Seramai 20 komuniti yang terlibat dalam mengusahakan produk ekopelancongan di kampung itu telah bersama menjayakan program tersebut,” katanya di sini hari ini.
Rosmalina berkata, antara aktiviti adalah penanaman sebanyak 120 anak pokok bakau hasil sumbangan daripada pihak Jabatan Perhutanan Sabah (JPNS).
“Kita yakin program ini memberi manfaat kepada komuniti dan pelajar terlibat selain membantu komuniti Kampung Seri Serbang terhadap pengetahuan memulihara sumber alam semula jadi,” jelas Rosmalina.
Menurutnya, program ini turut mampu memberi impak positif kepada pelajar untuk memahami dan mendalami keperluan membantu masyarakat setempat dalam hal berkaitan perhutanan dan ekopelancongan.