TAWAU : Seorang lelaki merupakan warga tempatan disyaki pengedar dadah ditahan dalam satu operasi di sekitar Bandar Tawau, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 48 tahun berasal dari Batu 4, Jalan Apas ditahan bersama 930.00 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM63,190.
Katanya, suspek ditahan dalam serbuan jam 8.15 malam operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.
“Semasa berada di lokasi serbuan, polis melihat sebuah kenderaan berhenti di tempat letak kereta dan kelihatan seorang suspek seorang lelaki keluar dari kenderaan tersebut dengan memakai beg silang.
“Suspek berjaya ditahan selepas mendekati suspek berkenaan, hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai, kita menjumpai satu beg plastik berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 930.00 gram.
“Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (meth) dan amphetamine (amp) menerusi ujian saringan air kencing.
“Siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terlibat dan suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas Jasmin.