Pengagihan air libatkan 67,308 Ketua Isi Rumah terkesan akikat kemarau– Shahelmy

KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil beberapa tindakan  serta langkah kecemasan bagi mengurangkan masalah bekalan air semasa musim kemarau baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, iIni termasuklah pembinaan empangan sementara serta mendalamkan muka sauk melalui kerja-kerja pengorekan bagi memastikan sumber air mentah mencukupi untuk melancarkan semula proses rawatan air.

Katanya, JANS bekerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap daerah bagi melaksanakan pengagihan air bersih bagi memenuhi keperluan.

“Sehingga kini, pengagihan air melibatkan 67,308 Ketua Isi Rumah (KIR) di 18 daerah terkesan. Selain itu JANS bekerjasama dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan pembenihan awan di kawasan strategik seperti kawasan tadahan air.

“Operasi Pembenihan Awan dilaksanakan ini berdasarkan ramalan kesesuaian atmosfera awan yang menunjukkan tanda-tanda positif hujan boleh terjadi sekiranya pembenihan awan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan keutamaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Mesyuarat Penggal Kelima di sini hari ini.

Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, pembenihan awan dilaksanakan di Tawau, Lahad Datu, dan Papar manakala MET Malaysia memaklumkan pada 28 dan 29 Mac 2024 menunjukkan tahap keberhasilan sebanyak 67 peratus dan hujan direkod pada dua hari operasi dilaksanakan.

“Manakala, bagi hari ketiga iaitu pada 30 Mac 2024, tiada hujan telah direkodkan semasa operasi pembenihan awan dilakukan. JANS mengambil inisiatif khusus untuk mencari sumber air mentah bawah tanah dan diproses melalui sistem Purifier Water Package Plant (PWPP) di kawasan terjejas teruk termasuk di Pulau Sebatik.

“Antara inisiatif lain dilaksanakan adalah catuan air di kawasan-kawasan terkesan serta menyediakan depoh air serta tangki statik bagi penyediaan bekalan air terawat kepada pengguna di lokasi-lokasi terpilih,” jelas Shahelmy.

Menurutnya, penyelesaian jangka panjang, antara cadangan serta pelaksanaan adalah projek penambahan kapasiti takungan air untuk memastikan keterjaminan bekalan air mentah seperti pembinaan Off River Storage (ORS) dan empangan.

“Antaranya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Semporna Sabah, Pembinaan ORS berkapasiti 90JL dan diunjurkan akan siap menjelang hujung tahun ini.

“Selain itu, Skim Bekalan Air Tawau Fasa III di mana Rekabentuk dan Pembinaan Empangan Air Tawau berkapasiti 30 MCM yang diunjurkan siap menjelang pertengahan 2026.

“Projek dalam perancangan, Sistem Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III – Pembinaan empangan berkapasiti – 130 MCM, Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) – Pembinaan ORS dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, Sandakan, Sabah bertambah dari 120 JL ke 125 JL,” tambahnya.