PAPAR : Pencapaian cemerlang pelajar pedalaman dan luar bandar di negeri ini dalam beberapa peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) bukan sahaja membuktikan kemampuan mereka tetapi juga memberi isyarat tentang perlunya prasarana sekolah di kawasan itu dinaik taraf.
Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon Kumpulan Yayasan Sabah (YS) Zulkhairi Ismail berkata, perkembangan positif itu adalah sesuatu yang amat membanggakan dan perlu disokong oleh semua pihak tanpa bergantung sepenuhnya kepada usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.
Katanya walaupun dalam keadaan sekolah yang serba kekurangan, pelajar terbabit membuktikan mereka mampu berdepan dengan pelbagai halangan untuk menjadi insan cemerlang dalam bidang akademik.
“Ini juga menjadi dorongan kepada agensi kementerian tertentu termasuk sektor koprat dan swasta agar memberi perhatian supaya sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman disegerakan proses baikpulih termasuk bantuan-bantuan yang boleh membantu masyarakat luar bandar terutamanya golongan B40.
“Usaha segera ini, pasti akan memberi lebih dorongan dan semangat kepada pelajar luar bandar untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik,” katanya kpada program YS Bersama Rakyat (YSBR) dan penyerahan Skim Bantuan Khas (SBK) YS kepada seramai lebih 100 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mandalipau, Sk Kogopon dan Sk Kaiduan dekat sini, baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan oleh wakil Rakyat kawasan Limbaharu Datuk Juil Nuatim dan turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Papar Suzlan Suhaili.
Menurut Zulkhairi YS melalui tanggungjawab sosialnya akan terus melaksanakan tanggungjawabnya untuk membantu menjana sektor pendidikan di negeri ini bukan sahaja menyediakan biasiswa dan pinjaman untuk pelajar cemerlang meneruskan penganjian ke menara ganding.
Namun, katanya, bagi pelajar kurang berkemampuan terutamanya di luar bandar turut dibantu dengan bantuan peralatan pendidikan sebagai satu usaha untuk meransang dan meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akdemik.
Tambah beliau bagi merealisasikan gagasan “ Sabah Maju Jaya”, sektor pendidikan merupakan salah satu tunjuang utama dalam pembangunan sosial negeri.