KOTA KINABALU : Lebih 150 penduduk Peringkat Tiga Kampung Bangka-Bangka Likas melahirkan perasaan gembira selepas 25 tahun masalah penyambungan paip utama bekala air di kawasan mereka akhirnya dapat diselesaikan.
Sebelum ini mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi serta jauh daripada kawasan rumah untuk membuat penyambungan air bagi keperluan harian mereka.
Sementara itu, seorang penduduk kampung Abd Sani Imbrani berkata, jika paip getah terbabit bocor penduduk kampung terpaksa membayar bil yang tinggi sehingga mencecah RM2,000 ke atas.
Katanya, akibat ketiadaan bekalan paip utama di kawasan kampung peringkat tiga ini, penduduk terpaksa membuat penyambungan meter air sejauh 200 hingga 700 meter.
“Keadaan ini sudah berlarutan lebih 25 tahun barulah kami memperoleh bekalan paip utama ini. Kemudahan ini sudah tentu memberi khabar gembira kepada seluruh penduduk kampung di sini.
“Inilah antara kemudahan yang sangat dinanti-nantikan oleh semua penduduk di kawasan kampung Bangka-Bangka terutama di kawasan peringkat tiga ini,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk hanya ingin dikenali sebagi Taib berkata, kemudahan bekalan paip utama ini dilihat mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu sejak sekian lama penduduk kampung.
“Hampir setiap hari kami berhadapan dengan masalah keadaan paip bocor, bil air yang melambung tinggi serta mengelaknya berlaku kes kecurian air.
“Bayangkan penduduk kampung terpaksa melakukan pemeriksaan hampir setiap hari agar paip getah air ini tidak bocor kerana boleh mengakibatkan bil yang tinggi ditanggung oleh penduduk kampung,” jelas Taib.
Menurutnya, kemudahan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk kampung berikutan masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lamanya.
“Selepas ini penduduk khususnya di Peringkat Tiga Kampung Bangka-Bangka Likas, tidak lagi bersusah payah untuk membuat penyambungan paip sehingga dilihat sangat membebankan mereka.
“Kita berharap agar kemudahan bekalan paip utama ini dapat mengurangkan kos penyelenggaran paip bocor, bil air melambung tinggi sekali gus memberi keselesaan untuk tempoh jangka masa panjang kepada penduduk kampung,” kata Taib.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kontraktor dilantik dapat menyiapkan projek pemasangan bekalan paip utama ini dapat menyiapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan.