TAWAU : Empat lelaki ditahan dalam ‘Ops Tapis’ selepas disyaki terlibat kes penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, serbuan pertama memberkas seorang suspek lelaki tempatan berumur 22 tahun bersama syabu seberat 0.21 gram di sebuah rumah flat, Jalan Kuhara Tawau kira-kira jam 1.17 petang sabtu lalu.
Katanya, saringan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sementara itu, dalam serbuan kedua antara jam 3.39 petang dan 3.41 petang kelmarin dilakukan secara berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan dua suspek lelaki warga tempatan antara berumur 49 dan 50 tahun.
“Polis turut merampas dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 0.46 gram sekitar kawasan kampung Tanjung Batu Laut dan kampung Vietnam, Tawau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, pemeriksaan saringan ujian air kencing kesemua suspek didapati positif dadah jenis syabu itu ditahan reman dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Satu lagi serbuan berjaya menahan seorang suspek lelaki warga asing berumur 25 tahun dipercayai tokan dadah sekali gus merampas sejumlah 12.92 gram dadah jenis syabu di sekitar kampung Titingan Tawau kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu manakala kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas Jasmin.
Menurutnya, Ops Tapis dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sepanjang tiga hari itu tertumpu di kawasan hotspot perkampungan termasuk kawasan atas air dikenal pasti menjadi sarang penagih.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat serta aduan awam mengenai gangguan dilakukan golongan penagih di kawasan terbabit.
“Polis giat menjalankan operasi gempur sarang penagih bagi melakukan pemutihan di kawasan panas serta mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap penagih yang sering berlegar di kawasan kejiranan sekali gus mengekang kesalahan jenayah,” kata Jasmin.