Pemuda UMNO pergiat aktiviti sukan di Beaufort

KUALA PENYU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort mahu penganjuran aktiviti sukan di seluruh kawasan ini dipergiat kerana bukan sahaja menyihatkan malah turut menjadi medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Ketuanya Ak.Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata, dalam membentuk negara bangsa, sukan adalah platform untuk mendidik masyarakat terutama golongan belia mencintai negara, bergaul antara satu sama lain dan bersama-sama menyokong serta menyertai setiap aktiviti bermanfaat yang dianjurkan.

“Sukan adalah salah satu program yang tiada sempadan kaum dan agama dan kita perlu perbanyakkan kegiatan seumpama ini untuk membolehkan kita bukan hanya berinteraksi dengan generasi muda tetapi yang penting, nilai-nilai budaya yang boleh ditanam dalam kalangan generasi muda” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan set peralatan sukan kepada belia dan beliawanis di Kampung Tenembak dekat sini kemarin.

Menurutnya kegiatan sukan berupaya menerapkan semangat kekitaan sekali gus dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan ini akan dapat membantu melahirkan insan yang cergas pemikiran.

Dan yang lebih penting membentuk penyatuan rakyat ini tidak dibatasi oleh kaum dan agama seiring dengan konsep Malaysia Madani, katanya.

Dalam perkembangan yang lain Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort pada malam Khamis lepas telah melaksanakan program santai menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim melalui tayangan Skrin Layar di Uptowan Pekan Beaufort.

Menurut Ak Mohd Yazri program itu memberikan peluang kepada golongan belia setempat yang tidak dapat menyaksikan secara langsung perlawanan tersebut di Stadium Likas kerana beberapa faktor antaranya perhubungan jauh dan tiket masuk telah habis dijual.