BEAUFORT : Suara belia perlu didengari agar hasrat hati dan impian mereka dapat diberikan perhatian, difahami dan dipenuhi bagi menjamin kelestarian dan kebahagiaan golongan itu pada masa hadapan.
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata Pemuda UMNO perlu menjadi rakan kongsi bagi memahami citarasa golongan muda hari ini dalam mendepani masa depan mereka yang lebih mencabar.
Katanya, perkongsian ini boleh dilakukan melalui pelbagai pendekatan yang boleh dimainkan Pemuda UMNO termasuk aktiviti-aktiviti riadah serta sukan antara medium digemari oleh golongan muda.
“Penganjuran sebarang kegiatan berkaitan belia melibatkan bidang sukan bukan sekadar mencungkil bakat sukan. Pemuda UMNO perlu menjadi platfrom ini untuk menyelami kehendak golongan belia.
“Generasi muda merupakan penyambung warisan kepimpinan negara, kerana itu mereka perlu terbabit secara langsung dan aktif dalam urusan dan agenda pembangunan negara. Golongan muda perlu mempunyai iltizam, kesungguhan, keyakinan serta ketahanan cukup tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sembilan sebelah di sini, kelmarin.
Kejohanan itu berlangsung selama dua hari itu sebanyak 20 pasukan menyertainya termasuk dari Lawas dan Labuan menawarkan wang tunai Johan RM15,000 manakala Naib Johan RM7,000 dan ketiga RM4,000 berserta piala serta hamper.
Awang Aslee merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Giat Mara kawasan Parlimen Beaufort menggesa Pemuda UMNO Beaufort supaya meningkatkan lagi programnya pada masa akan datang.
“Pemuda UMNO perlu terlibat dalam bidang pendidikan, Latihan kerjaya, perniagaan dan ekonomi agar lebih ramai anak mudah bukan sahaja mendapat maklumat tentang peluang yang disediakan,” jelas Awang Lakat.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata beliau akan merancang sekali gus melaksanakan beberapa lagi program terutama dalam bidang Latihan dan kemahiran.
“Sebahagian besar peranan serta tanggungjawab membangunkan negara dilunasi belia, melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan pembentukan kemahiran diri.
“Kita telah selain kegiatan sukan Pemuda Umno Bahagian perlu merancang dengan melaksanakan beberapa lagi program latihan kemahiran secara kolabrasi bersama jabatan dan agensi Kerajaan yang berkenaan,” katanya.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Abdul Rahman, Ketua Wanita Juriffah Safflie serta Ketua Puteri Munira Sarrie.