KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) komited menggerakkan seluruh jenteranya bagi membantu menjayakan pelaksanaan dasar kerajaan negeri di peringkat akar umbi.
Ketua Pemudanya, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, sebagai sebahagian daripada parti pemerintah PAS Sabah akan berusaha membantu kerajaan negeri Sabah dalam memastikan usaha kerajaan membantu rakyat akan tercapai.
Katanya, ini termasuklah bersama-sama kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 agar statistik sekarang ini mencapai tahap yang terbaik.
“Usaha kita termasuklah menyampaikan agenda kerajaan negeri berkenaan kempen vaksinasi, Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta usaha yang dibuat oleh kerajaan bagi membendung Covid-19 terutama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini semalam.
Zulzaim Hilmee berkata, sepanjang pertemuan dengan rakyat akan mengikut Prosuder Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar dasar ini kerajaan negeri sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“PAS Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Ketua Menteri yang mengalu-alukan kunjungan mereka sekali gus memberi perhatian serta mendengar pandangan Pemuda demi kebaikan anak muda di negeri ini,” katanya.