Pemimpin adat diseru ketahui masalah rakyat di kawasan masing-masing – Jahid

TAMPARULI : Sebagai pemimpin yang paling dekat dengan masyarakat, ketua kampung dan ketua masyarakat Cina perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk mengetahui apa jua masalah rakyat sama ada dalam aspek ekonomi dan sosial di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, sememangnya tugas ketua kampung dan ketua masyarakat Cina tidak semudah yang disangka, ditambah dengan harapan yang tinggi oleh para penduduk kampung.

Katanya, dengan adanya pelantikan Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-ketua Kampung di daerah kecil Tamparuli ini, tanggungjawab untuk meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjaga imej Mahkamah Anak Negeri.

“Kerajaan melantik ketua-ketua adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri untuk menganggotai Mahkamah Anak Negeri bagi mengadili sebarang kesalahan adat seperti perbicaraan kes yang ada kaitan dengan adat resam kaum yang ada di negeri ini.

“Saya berharap dengan segala khidmat bakti yang diberikan oleh Kerajaan dapat dibalas dengan usaha gigih yang berterusan,” katanya di sini semalam.

Jahid merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, jangan segan untuk memberikan idea dan pandangan dalam usaha memaju serta membantu masyarakat di kawasan masing-masing terutamanya di daerah kecil Tamparuli.

“Ketika menjalankan tugas dan tanggung jawab mereka pemimpin adat dilantik sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai kebersamaan, saling menghormati, dan menjaga keharmonian dalam masyarakat.

“Kerjasama untuk menyelesaikan permasalahan yang ada, serta memperkuat posisi dan peranan adat dalam pembangunan daerah amat diperlukan.

“Selain menjadi teladan yang baik bagi masyarakat, dan terus berinovasi dalam memajukan adat dan budaya di kawasan masing-masing,” kata Jahid.

Pada majlis tersebut, seramai 9 orang Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan 54 orang Ketua Kampung telah menerima watikah pelantikan.